Sains psikologi memiliki perkaitan yang rapat dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, psikologi membincangkan masalah indera, jiwa dan otak manusia. Demikian juga al-Quran dan sunnah membincangkan indera, jiwa dan otak (al-aql) manusia secara universal. Bahkan penjelasan al-Quran dan sunnah tentang ketiga-tiga aspek itu lebih mendalam. Apabila sains psikologi membincangkan masalah tingkah laku, fenomena karakter dan corak pemikiran manusia secara umum. Sebaliknya, al-Quran 14 abad yang telah lalu menjelaskan pelbagai tingkah laku buruk dan baik, corak pemikiran manusia yang benar dan salah secara mendalam. Al-Quran dan sunnah juga menjelaskan kesan tingkah laku dan corak pemikiran manusia yang salah dan zalim akan membawa padah kepada diri mereka sendiri. Demikian juga tingkah laku dan pemikiran yang betul akan membawa kecemerlangan kepada diri sendiri, keturunan dan anggota masyarakat. Dengan demikian, ajaran Islam memberi maklumat yang komprhensif tentang psikologi manusia. Bahkan maklumat sains psikologi Islam lebih menakjubkan lagi dibandingkan dengan penjelasan ahli-ahli psikologi moden yang sekular.
Sarjana-sarjana Muslim hasil didikan Barat sering kali alpa. Mereka tidak mengetahui bahawa al-Quran dan sunnah merupakan lautan ilmu yang tiada bertepi dan bersempadan. Akibat fikiran yang sekular ini menyebabkan mereka mendewa-dewakan teori-teori Barat moden, kemudian menafikan sumbangan para sarjana Muslim serta menafikan ajaran Islam yang murni.
Buku ini ditulis untuk bacaan umum bagi memenuhi perkembangan semasa dan tanggungjawab penulis sebagai ilmuwan. Walaupun penulis telah berusaha dengan segala upaya mengadunkan ajaran Islam dengan beberapa pemikiran ahli-ahli psikologi Barat moden. Tetapi, bukanlah bermakna isi buku ini lebih baik dan terlepas dari sebarang kekurangan. Oleh itu, penulis mengharapkan kritikan yang membina dari semua kalangan ilmuwan dan intelektual supaya kelemahan-kelemahan yang ada dapat diperbaiki ke arah yang lebih baik di masa mendatang. Semoga semua kritikan itu, selain berfungsi untuk membina, dalam masa yang sama juga menjadi amal soleh bagi para pengkritik. Semoga dengan adanya kelemahan-kelemahan dan kesalahan dalam buku ini, sentiasa dapat memotivasi kerja keras penulis untuk memperbaikinya sambil beristighfar memohon keampunan, mencari keredhaan Allah serta keredhaan kedua ibu bapa khasnya Almarhum ayahnda Abang Yaman bin Abang Dari dan ibunda tercinta Utin Aida Binti Gusti Mustafa Achmad. Semoga keredhaan ibunda sentiasa memotivasi penulis sekeluarga untuk terus berkarya.