Alhamdulillah, berkat ilham dan rahmat Allah, buku yang bertajuk PERSPEKTIF SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM DI BORNEO ini dapat diselesaikan sesuai dengan rencana. Walaupun ia ditulis memakan masa yang agak lama iaitu selama enam bulan. Ini disebabkan kesukaran mengumpulkan bahan-bahan berkaitan. Buku ini ditulis bermula pada awal bulan Disember 2014 dan selesai pada tarikh 4 Syaban 1436/22 Mei 2015.
Buku ini terdiri dari 16 bab. Bab 1 membincangkan Kesultanan Brunei dan kontribusi Kesultanan Brunei dalam bidang penyebaran agama Islam di Borneo. Perbincangan bermula dengan Brunei Tua, yang diasaskan oleh Awang Alak Batatar – seorang penganut Hindu Majapahit. Akan tetapi setelah menikahi puteri Sultan Johor, Awang Alak Batatar memeluk Islam kemudian menukar namanya kepada Sultan Muhammad Shah. Baginda naik tahta pada tahun 1370 M. Kegemilangan Kesultanan Melayu Islam Brunei berakhir setelah penjajah British berjaya masuk ke Sarawak dan terus menjajah seluruh negeri Sarawak. Pada 24 September 1841, Raja Muda Hashim telah menyerahkan Kerajaan Sarawak kepada James Brooke, kerana untuk membalas jasa baik James Brooke yang telah membantu beliau mengamankan kaum pembrontak. Dengan diserahkan Kerajaan Sarawak kepada Brooke ini menandakan berakhirlah keseluruhan pengaruh Kesultanan Brunei di tanah Sarawak.
Bab 2 – 13 membincangkan tentang sejarah Kesultanan Melayu Kalimantan Barat dengan segala fenomena yang berlaku. Perbahasan bermula dari Sejarah Kesultanan Sanggau, Kesultanan di Hulu Kapuas, Kesultanan Sintang, Kesultanan Sukadana – Kesultanan Tanjungpura, Kesultanan Landak, Kesultanan Mempawah, Kesultanan Kubu, Kesultanan Sambas dan Kesultanan Pontianak. Kedua belas kesultanan ini telah memberi kontribusi yang besar terhadap penerokaan sesebuah bandar, pembinaan kota, pembinaan sosio-budaya, politik, ekonomi dan penyebaran agama Islam di Kalimantan Barat. Namun, disebabkan ketidaktahuan, kealpaan, atau lupa sejarah, peranan para sultan ini dinafikan setelah mereka ikhlas menyerahkan emperium masing-masing kepada NKRI. Walau bagaimanapun, setelah sekian lama merdeka, kini barulah perhatian diberikan hanya secebis sahaja.
Bab 14 – 15 membincangkan Sejarah Kesultanan Kalimantan Timur dan Kalimantan Selatan. Sepertimana Kalimantan Barat, Kalimantan Timur dan Kalimantan Selatan juga telah memainkan peranan penting dalam membina sesebuah kesultanan dengan membuka beberapa buah kota dan pelabuhan. Usaha-usaha para sultan di Kalimatan Timur dan Kalimantan Selatan bermula daripada zaman Kerajaan Hindu – Majapahit, setelah mengalami proses asimilasi dengan kaum Dayak lalu membina sebuah Kerajaan Islam yang mapan. Kemudian akhirnya, kegemilangan sultann-sultan ini berakhir dengan kehadiran kaum penceroboh – penjajah Belanda. Kini, Kalimantan Barat, Kalimantan Timur dan Kalimatan Selatan hanya menyisakan puing-puing sejarah yang hampir pupus dan lenyap ditelan zaman.
Bab 16 membincangkan Perspektif Sejarah Sarawak dan perkaitan dengan Kesultanan Brunei tempoh dulu, perkaitannya dengan kedatangan agama Islam – dakwah Islamiah di Bumi Kenyalang dan Sarawak di bawah penjajah British. Selain itu, memaparkan pencapaian usaha-usaha dakwah yang telah dimainkan oleh para ulama dan cendekiawan Sarawak sekitar abad ke-19. Kini, Sarawak telah menjadi sebuah negeri kontemporari dan maju. Antara kemajuan nyata dalam dakwah Islamiah adalah di setiap bandar-bandar bahagian, daerah, daerah kecil dan kampung terdapat binaan-binaan masjid yang parmanen.
Dalam penulisan buku Perspektif Sejarah ini, penulis telah berusaha dengan segala daya mengumpulkan pelbagai literatur, membuat perbandingan dan analisis terhadap fakta yang berlaku. Penulis telah berusaha dengan optimum menganalisis setiap susur galur keturunan sultan-sultan dan garis keturunan mereka di Kalimantan Barat, Kalimantan Timur, Kalimantan Selatan dan Brunei Darussalam. Ini bertujuan untuk mendapatkan fakta yang sebenar dan tulisan yang objektif. Penulis amat menyedari dalam tulisan yang menghabiskan banyak tenaga dan masa ini masih banyak kelemahan yang mesti diperbaiki. Menyedari kelemahan-kelemahan ini, maka penulis sangat mengharapkan kritikan dan saran-saran yang konstruktif dari semua pembaca bagi perbaikan kandungan buku ini. Kelemahan dan kekeliruan yang terjadi dalam tulisan ini bukan disengaja, tetapi benar-benar bersifat manusiawi.
Semoga dengan kehadiran buku Perspektif Sejarah Dan Tamadun Islam di Borneo ini dapat menjadi bahan bacaan yang berguna bagi pencinta sejarah, menjadi bahan rujukan dan keperluan ilmu pengetahuan.