Buku ini merungkaikan fenomena akhir zaman, di mana situasi dunia sekarang benar-benar telah berada di penghujung usia. Secara hujah, semua tanda-tanda kecil kiamat telah bermunculan dan telah memenuhi planet bumi ini. Buku ini merungkaikan dua tanda kiamat akan segera menimpa seluruh alam ini, iaitu tanda kecil dan tanda besar. Kedua tanda ini, dijelaskan secara tekstual dan inspiratif dalam banyak hadis. Berdasarkan informasi hadis, hampir seluruh tanda-tanda kecil kiamat akan terjadi telah terbukti hari ini. Semak hadis-hadis sahih dalam buku ini. Sementara sepuluh tanda besar kiamat akan datang, iaitu: (1) al-Dukhan, (2) keluarnya Dajjal, (3) Imam Mahdi, (4) turunnya Nabi Isa, terjadinya tiga gerhana secara serentak (5) di timur, (6) barat dan (7) jazirah Arab; (8) terbitnya matahari dari sebelah barat, (9) keluarnya binatang melata, (10) keluarnya Yakjuj Makjuj. Dari sepuluh tanda itu, satupun belum ada yang muncul. Walau bagaimanapun, semua tanda-tanda kecil itu semakin hampir untuk menggiring kepada tanda-tanda besar.
Tujuan buku ini ditulis untuk memberi maklumat penting kepada semua orang Islam keperluan kita beriman kepada hari kiamat. Hakikatnya, jika beriman kepada hari kiamat itu diiringi ilmu yang cukup mengenai hadis-hadis sahih dan al-Quran, diyakini akan menambah keimanan kepada Allah. Kesannya adalah orang-orang Islam akan rajin mengerjakan ibadah, amal salih dan menggandakan pelbagai kebaikan. Takut dengan bencana hari kiamat, azab kubur dan azab api neraka mendorong orang-orang Islam untuk menjadi mukmin yang sejati. Bukan Muslim yang abal-abal, atau Muslim KTP.
Sebagai seorang ilmuwan, penulis merasa bertanggungjawab untuk mencurahkan sedikit ilmu yang ada; moga-moga dengan membaca buku ini sekurang-kurangnya dapat membantu pembaca untuk memahami hakikat hari kiamat dan tanggungjawab hidup kita sebagai manusia. Ingat! sehebat manapun kita, setinggi apapun kedudukan kita, sebesar manapun kekayaan dan kuasa kita; itu semua tidak akan membantu diri kita setelah nyawa berpisah dengan badan kita. Yang dapat membantu hanya amal dan kebaikan semasa hidup. Tidak salah menggapai kemewahan dan kesenangan hidup di dunia, tetapi iringilah itu semua dengan sifat dermawan, sifat takwa dan tawaduk, insya-Allah, ia akan menjadi catatan amal salih kita.